BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 23, 2011

Dosa Silam

             Tersayup-sayup kedengaran suara memanggil namaku dalam sedu namun alangkah sedihnya kudrat badan tidak tergerak untuk menggapainya. Aku berdiri di hujung persimpangan. Sunyi sepi. Yang kelihatan hanya kegelapan. Di manakah aku berada? Aku cuba imbas kembali apa yang terjadi pada diriku sebelum berada di tempat ini. Apakah dosaku sehingga dihukum sebegini rupa?

            Jelas kelihatan api yang marak melepaskan laharnya di suatu sudut. Hatiku mula terdetik. Tersentap. Dosa silamku mula terimbau kembali. Satu demi satu. Rasa takut menyelubungi diri. Adakah Tuhan ingin menghukum aku? Airmata mula merembes keluar. Melahirkan rasa gerun dengan kekuasaan Ilahi.

            Dengan perlahan, badanku tersungkur jatuh menyembah tanah. Rebah tidak terdaya. Jijik dengan diriku sendiri. Aku tahu sepanjang hidupku tidak pernah dahiku mencecah sejadah. Walaupun sekali. Nasihat ayahku tidak pernahku dengar. Aku merintih dalam diam. Ya Allah, tidak terhitung segala dosaku. Adakah masih sempat aku memohon keampunan dari-Mu? Jiwa ragaku diselimuti rasa keinsafan. Dingin. Tenang. Inginku kembali menuntut ilmu-Mu. Demi cahaya ketenangan.

            Tiba-tiba, badanku ditarik jauh dari tempat itu. Aku menjerit memanggil nama-Mu. Pinta agar diberi masa untuk bertaubat. Namun aku terasa ada cahaya terik menyilaukan pandangan mataku.Payah sungguh untukku membuka mata kerana cahaya itu semakin memancar tepat ke mataku. Aku segera meliarkan pandangan mataku ke seluruh bilik itu sejurus mataku berjaya dibuka. Hanya putih kelihatan. Dalam sedar, aku menangkap kelibat seseorang di sebelahku. Tangan yang erat dan kejap memegang tanganku. Sejenak aku berfikir untuk mengenalpasti gerangan itu.

            Ya, dia ayahku. Insan yang paling sabar melayani segala kerenahku. Aku sedar sejak kematian ibuku, perangaiku semakin menjadi-jadi. Tapi ayah, dia tidak pernah jemu berada di sisiku biarpun kata-kata kesat sering dilemparkan kepadanya. Bahkan sudah menjadi “makanan” wajib telinganya setiap hari.

            Tanganku diangkat perlahan biarpun rasa sakit semakin menusuk. Aku ingin memohon maaf kepada ayah. Bersujud dengan penuh rasa kekesalan di kakinya. Perbuatan aku menggerakkan badan itu menyedarkan ayah dari tidurnya. Mata ayah bersinar kegembiraan melihat aku terjaga dari lena yang panjang. Ayah segera memelukku dengan perasaan bersyukur. Kehangatan kasihnya sungguh mendamaikan hati. Berulang kali ucapan maaf ku ungkapkan kepada ayah. Tapi aku tahu kasihnya tidak pernah luput biarpun semakin dimamah usia. Bagai ombak laut yang tetap setia menghempas pasir pantai. Semangat aku berkobar-kobar untuk memulakan kehidupan baru. Terasa seperti bayi yang baru dilahirkan. Suci daripada sebarang dosa dan noda.

            Aku ingin terus mengabdikan diri kepada Allah S.W.T sepanjang hidupku. Selagi Malaikat Maut belum datang mencabut nyawaku. Selagi tangan dan kaki ini masih mampu untuk bergerak. Selagi aku masih menghirup nafas di bumi ini. Itu janji ku pada Yang Maha Esa. Burung-burung kerkicauan meluahkan rasa syukurnya pabila  hati yang sesat kembali pulang ke pangkuan jalan-Nya. Angin menderu perlahan mengheningkan suasana keinsafan.




pesanan cik comel :) maaf, cerpen ini agak pendek. officially created by Hanum. penasihat bahasa tungganglanggang, Cik Hanani :)

2 tukangkata:

nur ain samsuri :) said...
This comment has been removed by the author.
nur ain samsuri :) said...

subhanallah..
indah nyer bahase cerpen kao..
bagos nyer kawan aq nih ^_^
hmm..
aq suke yg part last tuh..
"burung-burung berkicauan"
teringat aq kat usop..hehe